Lebuhraya SUKE Fasa 2 dibuka pada 16 Jun – kadar tol di Plaza Tol Alam Damai percuma hingga 29 Jun

Kumpulan Syarikat PROLINTAS menerusi anak syarikatnya Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd telah pun melancarkan Fasa 2 bagi Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) secara rasminya hari ini. Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Bagi SUKE Fasa 2 ini, ia bakal dibuka pada laluan trafik mulai jam 12.01 tengahmalam pada 16 Jun 2023. Laluan bagi Fasa 2 ini hanya memiliki satu plaza tol sahaja iaitu Plaza Tol Alam Damai. Sempena dengan pelancarannya, kadar tol diberikan secara percuma untuk Fasa 2 ini selama dua minggu iaitu bermula 16 Jun hingga jam 11.59 malam pada 29 Jun 2023. Walau bagaimana pun, apabila kadar tol mula dilaksanakan kelak, PROLINTAS memaklumkan bayarannya adalah RM2.30, sama seperti kadar di plaza tolnya yang lain di sepanjang SUKE.
Fasa 2 ini menyambungkan laluan Sri Petaling dan Bukit Jalil (laluan masuk di Lebuhraya KESAS) ke persimpangan Cheras-Kajang, berhampiran Plaza Phoenix. Melibatkan laluan sejauh 7.8 km, bermula dari Sri Petaling (dikenali sebagai persimpangan Sri Petaling), dan selain KESAS, laluan Fasa 2 ini juga bersambung dengan Lebuhraya KL-Seremban. Persimpangan seterusnya juga tidak jauh, iaitu persimpangan Sungai Besi, bersebelahan dengan stesen MRT Laluan Putrajaya dan dihubungkan kepada Lebuhraya Besraya.
Dari situ, SUKE mengikut laluan MRR2, tetapi berada di atas, sehinggalah Bandar Tasik Selatan dan melepasi Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sebelah kiri. Kemudiannya, SUKE membelok ke arah Alam Damai. Di sini, reka bentuk bertingkat bermula dengan trafik menghala ke Cheras-Kajang (KL) berada di atas dan laluan ke arah Sri Petaling berada di bawah.
Dengan pembukaan laluan ini, SUKE kini 99.54% lengkap, setakat 4 Jun 2023, dengan hanya satu lagi persimpangan bertingkat akan dibuka. Persimpangan terbabit iaitu jalan susur (ramp) Jalan Alam Damai masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada suku ketiga tahun ini.
Dalam laluan Fasa 2 ini, satu lagi plaza tol, iaitu di Alam Damai akan dibuka, menjadikan keseluruhannya ada tiga tol di dalam jajaran SUKE. Setiap tingkat di laluan Alam Damai ini akan mempunyai plaza tol sendiri.
Bersebelahan Plaza tol Alam Damai ini juga terdapat pusat kawalan utama SUKE, yang terletak dalam sebuah bangunan tinggi (jika dibandingkan dengan pusat kawalan lebuh raya lain) dan akan mempunyai kedai makan (juga akan dibuka kepada orang awam) di dalamnya.
Terdahulu, Fasa 1 SUKE dibuka kepada orang awam pada 16 September 2022 lalu dan ia bermula di persimpangan Cheras-Kajang sehingga ke Hulu Klang dengan laluan utama sepanjang 16.6 km, 11 persimpangan dan dua plaza tol iaitu Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang. Sejak ia dibuka, setakat 31 Mei 2023, purata trafik yang menggunakannya mencecah 60,000 buah kenderaan sehari.
Secara keseluruhannya, Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4 km (57.7 km jika dikira sekali dengan laluan susur keluar) mempunyai 14 persimpangan keluar, iaitu Sri Petaling, Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras-Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, Pekan Ampang, Ampang Level, Ulu Kelang, Hillview dan Bukit Antarabangsa.
Ia merupakan laluan alternatif kepada Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan dijangka membantu menampung sebahagian trafik yang lazimnya menggunakan MRR2 dan dapat memendekkan masa perjalanan dari Sri Petaling ke Ulu Kelang kepada 25 minit, berbanding 75 minit sekiranya menggunakan laluan sedia ada.
Selain itu, SUKE turut dihubungkan dengan KESAS (Sri Petaling), Lebuhraya KL-Seremban, Sungai Besi Expressway (Besraya), Grand Saga, Ampang-Kuala Lumpur Elevated Freeway (AKLEH) dan Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE). Lebuhraya baru East Klang Valley Expressway (EKVE) juga akan bersambung dengan SUKE.